Econimics

John C. Bogle mengatakan ‘The secret of investing is, finally, that there is no secret’. Jadi, apa yang penting dalam pelaburan?
Pesanan 1 : Kita Mesti Melabur
Sembang pasal pelaburan memang syok. Kalau orang kampung, kecoh dengan ladang sawit yang berpuluh ekar. Kalau orang kerja pejabat, gegak-gempita dengan pelaburan saham. Sekarang pula, semua gempar dengan pelaburan emas. Untung cepat, katanya.
Hebatnya orang Malaysia, bab melabur ini memang cukup berani. Pantang dicabar, semua menjadi. Masuklah skim labu peram, skim Pak Man Telo, dan macam-macam lagi Skim Cepat Kaya. Bukan sikit-sikit wang yang dilabur, malah sanggup bergolok-gadai jual tanah dan barang kemas. Memang betul-betul jantan..!!
Cuma, pesanannya di sini. Kalau mahu pulangan lumayan daripada pelaburan, kita mestilah melabur. Tanpa pelaburan, kita sebenarnya berdepan dengan risiko besar kehilangan wang pendapatan. Jangan sangka, ‘membenci’ pelaburan itu selamat.
Apabila anda bersara atau kehilangan upaya bekerja, barulah anda tahu betapa pentingnya pelaburan.
Pesanan 2 : Masa Adalah Rakan
Lebih awal anda melabur, lebih hebat pulangan yang anda perolehi. Itu adalah fakta.
Apabila anda menemui dan berminat dengan pelaburan ‘sempurna’, yang menjanjikan keuntungan luar biasa dalam masa singkat, ketahuilah ANDA BAKAL MEMUSUHI MASA..!!
Ingat dalam pelaburan, masa adalah rakan karib anda. Beri tempoh yang sesuai dan munasabah untuk pelaburan anda mula berhasil. Jangan sesekali mengharapkan untung lumayan dalam masa terlalu singkat.
Saya menyentuh tentang masa ini dalam artikel Apasal Semua Nak Cepat Ni?. Anda boleh baca di sana.
Pesanan 3 : Emosi Adalah Musuh
Oh, bila cerita tentang manusia, bab emosi memang tak dapat dielakkan. Kalau tak beremosi memanglah anda bukan manusia.
Tetapi, dalam pelaburan EMOSI ADALAH MUSUH..!!
Tadi kata, emosi dengan manusia tak dapat dipisahkan. Macam lagu dan irama..??
Ya, memang betul. Namun perlu diingat, kerana fitrah manusia itu jugalah menyebabkan 90% daripada pelabur rugi. Emosi jugalah yang mendorong kita mengambil risiko besar dengan menyertai skim cepat kaya. Kita sanggup rugi berjuta-juta ringgit dalam perniagaan. Kita melutut merayu-rayu kepada Ah Long, untuk meminjam wang.
Semua itu berpunca daripada emosi. Kalau begitu, bagaimana mahu mengatasi emosi?
Setakat yang saya tahu, cuma satu makhluk sahaja yang boleh mengatasi emosi, iaitu ILMU..!
Adakah anda faham dengan pelaburan yang anda buat? Apakah pelaburan itu sah di sisi undang-undang?
Adakah anda merancang pelaburan anda?
Adakah anda menetapkan pelaburan anda sebagai jangka panjang atau jangka pendek?
Siapa yang terlibat dalam urusniaga pelaburan yang anda buat?
Cukup setakat soalan-soalan ini dahulu. Kalau anda gagal menjawab soalan-soalan di atas, anda berisiko untuk gagal. Emosi menguasai diri anda. Carilah ilmu dan fahami dengan mendalam apa-apa pelaburan yang anda ingin sertai.
Saya sendiri terpaksa mengakui, hampir semua kesilapan dalam pelaburan yang saya lakukan berpunca daripada MEMUSUHI MASA dan BERSAHABAT DENGAN EMOSI.
Laburkan wang anda dengan bijak, dan ingatlah tiga pesanan John C Bogle